Pelakon, Adam Corrie berkata, kewujudan akaun Instagram anaknya bukanlah bertujuan untuk mencari publisiti ataupun komersial, namun ia hanyalah sebagai album digital.
Pelakon filem KL Gangster ini berharap lebih banyak komen yang positif berbanding negatif.
"Tak beriya sangat untuk wujudkan akaun Instagram anak cuma sekadar suka-suka.
"Ada orang follow alhamdulillah... kalau tak ada tak mengapa. Cuma janganlah komen yang buruk-buruk ataupun nak hina anak saya.
"Ucaplah tahniah mahupun berikanlah doa, saya terima," ujarnya kepada Sinar Harian.
Kini akaun IG anaknya @adamfatehlee mencecah hampir 15 ribu pengikut.
Adam, 50, ditemui ketika Majlis Aqiqah dan Kesyukuran Ulang tahun perkahwinan ke 10 Adam dan isterinya, Fazema Mohd Fuad di Duchess Ampang, Kuala Lumpur, Semalam.
Mengimbas kenangan terindah ketika menyambut kelahiran Fateh sebulan lalu, Adam berkata, pada awalnya dia bimbang kerana anaknya dalam keadaan diam sahaja dan tidak bersuara.
"Tetapi selepas doktor sedut apa yang ada di dalam mulutnya itu, dia mula menangis.
"Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya saya sehingga terus sujud syukur," luahnya.
Sementara itu, ditanya mengenai kerjaya lakonannya pula. Aktor ini sedang menjalani penggambaran drama slot Samarinda di TV3, Terbaik Dariku.
"Yang sudah confirmed itu saya teruskan sahaja, yang mendatang saya akan cuba susun atur jadual," katanya mahu meluangkan masa bersama anak sulungnya.
Adam Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 40, pada 2008.