Di negara dominasi Buddha yang melakukan tekanan sistematik ke atas penduduk Islam, hijab memberikan kekuatan tersendiri buat bloger remaja, Win Lae Phyu Sin.
Baru berusia 19 tahun Win Lae berpendapat hijab yang dikenakannya memberikan dia kebebasan yang tidak difahami orang lain.
"Saya tak menyesal berhijab.
"Tuhan saya membuka banyak jalan untuk saya maju, malah hijab ini semacam kunci buat saya untuk ke mana-mana dan berbuat apa saja yang saya rasakan wajar," katanya.
Win Lae mengusahakan blog yang bercerita mengenai produk kecantikan wanita. Baru-baru ini semasa satu majlis pelancaran produk produk kecantikan di Yangon, susuk Win Lae mudah dilihat.
Dengan solekan yang berwarna garang dipasangkan dengan baju berlengan panjang serta gaun putih hijau, kehadiran Win Lae sukar untuk tidak disedari orang ramai.
Di Myanmar, penampilan Win Lae itu juga menarik perhatian secara tidak langsung kepada fesyen Islam.
Mempunyai kira-kira 6,000 pengikut di Facebook, dia menjadi rujukan untuk penggemar fesyen serta produk kecantikan dengan komen serta khidmat rundingan yang disediakan.
Setakat ini, menurut laporan Reuters sudah ada lebih 600 orang mengikuti kelas tata rias kecantikan dikendalikan Win Lae di studio bergerak miliknya.
Hak bina masjid dinafi
Namun pada masa sama faktor agama masih memberi kesan kepada masyarakat di bandar raya Yangon itu. Dan Win Lae masih berdepan dengan diskriminasi.
Sesetengah wanita yang berminat mengikuti kelas kecantikan Win Lae dilaporkan menarik diri sebaik saja mengetahui dia beragama Islam.
Untuk rekod, daripada 50 juta penduduknya, masyarakat beragama Islam hanya sebesar kira-kira 5 peratus saja.
Selama berdekad-dekad hak mereka untuk membangunkan masjid baru dinafikan kerajaan. Untuk hidup selesa juga tidak semudah yang diharapkan.
Mencari apartmen sewa saja cukup mencabar kerana tidak semua pemilik hartanah sedia membuka pintu kepada orang Islam.
Pada masa kempen pembersihan etnik Rohingya di negeri Rakhine terus berlangsung di sebalik kecaman dan tekanan masyarakat antarabangsa.
Pemimpin utama Myanmar, Aung San Suu Kyi hampir-hampir tidak bersuara sama sekali di sebalik anugerah keamanan Nobel yang dimenanginya pada 1991.
Lebih 800,000 etnik Rohingya menjadi pelarian ke pelbagai negara kerana Myanmar enggan mengiktiraf mereka sebagai warganegara.
Pada masa sama Burma Human Rights Netword pada tahun lalu melaporkan kebanyakan penganut Islam dinafikan hak mereka untuk memiliki dokumen pengenalan diri selain dihalang mengunjungi rumah masjid tertentu.
Sementara itu, pelajar Win Lae berkata kelas yang diikuti bukan sekadar mengenai cara yang betul mengenakan solekan, sebaliknya ia juga mengajar mereka makna keyakinan diri ketika identiti mereka terus dipersoalkan rakyat Myanmar.
Hay Mann Aung, 20, berkata dia kagum melihat cara Win Lae menghias diri dan berjaya menampilkan kecantikan dengan cara yang sederhana.
"Saya nak jadi macam dia," katanya.
Di sebalik pujian itu Win Lae tetap juga berdepan dengan kritikan daripada kalangan konservatif yang tidak selesa dengan penampilannya yang menonjol.
Namun ia tidak memberi kesan yang banyak kepada Win Lae.
"Kalau ada orang mengecam, saya buat tak tahu saja. Saya ada banyak kerja lain nak dibuat," katanya.
Dan Win Lae juga bercadang untuk melawat Malaysia.